Wednesday, December 29, 2010

coretan dari hati...

khas buatmu....2010

2010...
Berdiri di pusaramu, mengingatkan aku bahawa perpisahan ini adalah untuk selamanya. Ikatan yang telah terbina, kini terlerai sampai bila2. Walau sekuat mana aku berusaha, kita tak mungkin akan bersama lagi...

biarlah....

memang takdir telah sedia tertulis, yang bertemu pasti kan berpisah...begitu juga halnya kita,
Alangkah banyaknya yang telah kau anugerahkan sepanjang perkenalan singkat kita 365 hari yang lalu. Banyak riang dan tawa atas kejayaan yang terlakar. begitu juga dengan tangis dan sendu menyoroti perpisahan dan kekecewaan yang berlaku. Segalanya kan pergi, meninggalkanku. Yang tinggal hanya secebis memori sebagai peneman malamku.
Saat pahit manis yang telah kita lakar bersama kan ku simpan kemas dalam kotak memoriku.


2010..
Dalam perkenalan itu dahulu, kau sempat menghadiahkan ku usia tua dan secalit kematangan. Tidak kurang juga parut2 kepayahan dan kejerihan sebagai bekalan untuk aku harungi masa depan yang entah bagaimana likunya. Jika hari ini aku masih terus lalai bergelak tawa dan bersorak sorai, bagaimana pula nasibnya masa depanku? pastinya kelam, menunggu kehancuran.. Ingatlah..'Hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung'
Jangan takut untuk memandang masa lalu. Kerana di situ bersemadi kesalahan yang telah dilakukan.

2010...
Dalam mengharungi manisnya detik bersamamu dahulu, banyak dosa yang telah terpalit. Terasa hinanya diri ini pabila menghadap yang Maha Esa. Banyak kelalaian yang sengaja dicipta, dan natijahnya..terasa jauhnya diri dengan tuhan walau segunung peringatan telah dialir. Wahai tuhan, kau sinarilah hati ini dengan pancaran hidayahmu agar hati ini tidak mati dari mengingatiMu.

2010...
Eratnya dakapanmu membuatkan aku sentiasa diawangan. Kau racuni minda dan jiwaku. Kau bius mindaku seolah2 aku kan hidup selamanya sehingga aku lupa. Lupa bahawa aku dicipta semata-mata untuk menjadi hamba pada-Nya. Bersamamu, terasa bahagianya hidup. Akan tetapi aku lupa, hidup ini bakal bertemu dengan noktahnya. Entah siapa pun yang tahu bila janjinya. dan kelupaan inilah yang mendorong aku untuk terus hidup dan hidup tanpa secalit pun rasa bimbang akan hari yang bakal menjemput ku ke alam yang lain.

2010..
Kau juga telah mengajarku akan peritnya sebuah kehidupan. Kau tunjukkan aku, kejayaan semanis madu takkan dicapai tanpa adanya usaha sepahit hempedu. Bekalan ini akan sentiasa aku jamah, agar aku tak mudah menangis andai jatuh tersungkur dan tak mudah rebah andai ditiup badai menggila.


2010..
kukira cukuplah coretan buatmu kali ini. Salam permisi ku pohon kepadamu. Doakan agar aku bisa lebih cekal melangkah di atas pentas kehidupan yang penuh pancaroba ini. Izinkan aku mengatur salam terakhir buatmu. Semoga kau terus bersemadi dengan aman.

Sayup2 kejauhan..kulihat 2011 sedang galak melambai.........





2 comments:

  1. eh..smalaman ak bsengkang mata nk siapkan taw ark..huhu

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...